DISEMBER 2024

Premier Sarawak Menemui Syarikat Gergasi, Kementerian Di Jepun


TOKYO: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selamat tiba di sini pada Ahad dalam rangka lawatan kerja rasmi  lima hari ke negara mata hari terbit ini. 

Esok Premier Sarawak akan memulakan lawatan dengan meninjau kegiatan penyelidikan di pusat penyelidikan teknikal di bawah kelolaan ENEOS Corporation, sebuah syarikat petroleum dan tenaga yang terbesar di Jepun. 

Beliau kemudiannya dijangka menghadiri beberapa mesyuarat bersama ENEOS Corporation and JX Nippon Oil & Gas Exploration Corporation, Japan Bank for International Cooperation (JBIC), Sumitomo Corporation, Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI), Jepun.

Lawatan kerja rasmi Premier Sarawak diteruskan pada hari kedua dengan mesyuarat bersama pihak Boeing Japan berhubung Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) serta pembangunan dan penyelidikan berkaitan.

Seterusnya beliau bersama rombongan Kerajaan Sarawak melakukan mesyuarat bersama HighChem Co. Ltd, Integrated Design & Engineering Holdings Co.Ltd. (ID&E), Mitsubishi Corporation, Mitsui OSK Line sebelum menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Bintulu Development Authority dan Pertama Ferroalloy/ Asia Minerals.

Memasuki hari ketiga lawatan kerja rasmi, Premier Sarawak bersama rombongan akan ke Tokyo Gas Yokohama Techno Station yang merupakan sebuah fasiliti model untuk pengeluaran dan penggunaan tempatan hidrogen dan e-metana, serta model peredaran CO2, dan menyebarkan ke seluruh Jepun.

Pada hari keempat, Premier Sarawak serta rombongan akan melakukan lawatan kerja ke Mitsubishi Power Takasago Plant.

Taman hidrogen tersebut merupakan sebuah fasiliti canggih yang didedikasikan untuk mengesahkan teknologi hidrogen bagi membantu proses nyahkarbonisasi global dan ia merupakan fasiliti pertama di dunia yang merangkumi keseluruhan rantaian hidrogen: pengeluaran, penyimpanan, dan penggunaan. 

Taman hidrogen ini juga menempatkan sistem-sistem termaju, termasuk elektrolizer berskala besar dan teknologi generasi seterusnya seperti elektrolisis oksida pepejal dan pengeluaran hidrogen turquoise, yang menghasilkan hidrogen tanpa pelepasan CO₂. 

Inovasi-inovasi ini diuji dengan turbin yang dijana oleh hidrogen, memajukan daya saing komersial hidrogen sebagai sumber tenaga yang lestari.

Premier bersama rombongan Kerajaan Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo pada jam 6.15 petang waktu tempatan.

Menyambut ketibaan beliau di hotel penginapan ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato' Shahril Effendi Abd Ghany, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Turut menyambut ketibaan Premier Sarawak ialah Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.

Kredit teks: UKAS